KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengecam veto Amerika Syarikat (AS) terhadap resolusi gencatan senjata Gaza di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan menggesa negara anggota mengguna pakai resolusi Uniting for Peace atau Bersatu untuk Keamanan.
MAHAR menyuarakan rasa kecewa mendalam serta kebimbangan serius terhadap veto terbaharu yang dibuat pada 18 Sept lepas.
“Halangan berulang kali terhadap resolusi yang mendapat sokongan padu masyarakat antarabangsa ini adalah kegagalan moral yang amat serius,” kata Presidennya, Jismi Johari dalam satu kenyataan pada Khamis (25 Sept).
Veto itu menggagalkan resolusi yang menuntut “gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal” di Gaza, pembebasan semua tawanan serta pemansuhan semua sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.
Resolusi itu digubal oleh 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan dan disokong oleh 14 anggota lain, termasuk semua anggota tetap lain iaitu United Kingdom, Perancis, Rusia dan China.
“Malapetaka kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap yang tidak dapat dibayangkan. Setiap veto yang menghalang usaha menamatkan pertumpahan darah dan penghantaran bantuan menyelamatkan nyawa adalah undi menentang kemanusiaan itu sendiri. Adalah tidak dapat diterima bahawa kebuluran, pengepungan dan hukuman kolektif terus dibiarkan berlarutan.”
Beliau menegaskan Majlis Keselamatan, yang dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dan keselamatan global, telah lumpuh akibat kuasa veto oleh seorang anggotanya.
“Ini bukan sekadar kegagalan diplomasi; ia adalah pengkhianatan terhadap prinsip asas penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”
Sebagai respons terhadap kebuntuan ini, MAHAR menggesa semua negara anggota PBB mengguna pakai resolusi Bersatu untuk Keamanan (Resolusi Perhimpunan Agung 377 A (V)), satu mekanisme penting yang membolehkan Perhimpunan Agung PBB bertindak apabila Majlis Keselamatan gagal berfungsi akibat kebuntuan veto.
“Kami menyeru semua negara yang menjunjung keadilan, maruah insan dan undang-undang antarabangsa supaya mengadakan Sesi Khas Tergempar Perhimpunan Agung,” kata Jismi.
“Dengan mengguna pakai Resolusi 377A, masyarakat antarabangsa boleh mengetepikan veto Majlis Keselamatan PBB dan menyampaikan mesej sebulat suara bahawa genosid di Gaza mesti ditamatkan segera. Dunia tidak boleh membiarkan kepentingan politik sebuah negara mengatasi nurani kemanusiaan.”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial