DUNIA > BERITA

Beberapa Kapten Dan Pembantu Tarik Diri, Misi GSF Ke Gaza Perlu Dirombak

27/09/2025 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Beberapa kapten dan pembantu mereka yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza terpaksa menarik diri semalam, sekali gus menyebabkan rombakan besar perlu dilakukan sebelum pelayaran dapat diteruskan.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi berkenaan berkata setakat pukul 12 tengah hari (waktu di Laut Mediterranean), flotila itu sudah tiba di selatan perairan Greece, melibatkan hampir 30 bot.

“Kalau mengikut perancangan, kita sepatutnya jalan terus dan tidak berhenti di Greece, tetapi ada sebab tertentu semalam. Beberapa jumlah kapten dengan pembantunya menarik diri (daripada menyertai misi) menyebabkan rombakan perlu dibuat.

“Kita tidak tahu lagi jumlah sebenarnya dan sebab mereka menarik diri, jadi penganjur kena pindahkan semula penumpang memasuki bot lain atau kapten baharu termasuk bot yang saya naiki,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sebuah bot keluarga turut dilaporkan rosak dan tidak dapat dibaiki, menyebabkan kumpulan itu setakat ini akan terus berada di lokasi terbabit sehingga keadaan membolehkan mereka meneruskan pelayaran.

“Selagi tidak selesai, kita tidak bergerak, bot keluarga itu pun mungkin penghuninya kena dipindahkan sebab bot tidak boleh bergerak, kami tidak dapat kemas kini sama ada mereka telah ganti dengan bot lain,” katanya.

Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF itu kini berada di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan