Daripada Muhammad Faiz Baharin
NEW YORK, 28 Sept (Bernama) -- Proses penyediaan dokumentasi untuk negara China menandatangani protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) setakat ini berjalan lancar, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Berkongsi mengenai perkembangan itu, Mohamad menegaskan ia merupakan satu proses yang panjang bagi menandatangani protokol terbabit.
“Ketika ini perkembangannya amat baik, malah keputusan China yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menandatangani protokol SEANWFZ tanpa sebarang syarat itu amat kita (ASEAN) alu-alukan.
“Selepas kenyataan China itu, negara lain seperti Amerika Syarikat sudah mula menyatakan bahawa mereka juga mahu menandatangani (SEANWFZ) dan tidak lagi meletakkan syarat-syarat,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini pada Sabtu selepas selesai menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025.
Pada Julai lepas, Mohamad pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Kuala Lumpur berkata China menzahirkan komitmen untuk menandatangani perjanjian SEANWFZ tanpa sebarang syarat, dan ia akan dilakukan sebaik semua proses dokumentasi selesai.
Perjanjian SEANWFZ, atau Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada Disember 1995 oleh negara anggota ASEAN sebagai komitmen menjadikan Asia Tenggara zon bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran. Ia mula berkuat kuasa pada Mac 1997.
SEANWFZ merupakan satu daripada lima Zon Bebas Senjata Nuklear (NWFZ) di dunia, selain zon di Amerika Latin, Caribbean, Pasifik Selatan, Afrika, dan Asia Tengah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial