DUNIA > BERITA

Syarikat Telekomunikasi Australia Alami Gangguan Kedua, Jejaskan Panggilan Kecemasan Dalam 10 Hari

29/09/2025 04:55 PM

SYDNEY, 29 Sept (Bernama-Xinhua) -- Syarikat telekomunikasi kedua terbesar Australia, Optus, pada Isnin melaporkan gangguan rangkaian kedua dalam tempoh 10 hari yang menjejaskan panggilan kecemasan, lapor Xinhua.

Optus, anak syarikat milik penuh konglomerat Singapura, Singtel, memaklumkan gangguan itu menjejaskan panggilan telefon di negeri pantai timur New South Wales (NSW) antara 3 pagi hingga 12.20 tengah hari waktu tempatan pada Ahad.

Menurut Optus, sembilan panggilan ke talian kecemasan Australia, Triple Zero, gagal dilakukan sepanjang tempoh gangguan itu.

Pihaknya telah mengesahkan dengan polis bahawa semua pemanggil yang cuba menghubungi Triple Zero berada dalam keadaan selamat.

Dianggarkan 4,500 pelanggan terjejas akibat gangguan itu yang berpunca daripada masalah di sebuah menara telefon mudah alih.

Ini menandakan insiden kedua Optus dalam masa 10 hari yang menjejaskan panggilan kecemasan.

Gangguan sebelum ini pada 18 Sept menyebabkan kira-kira 600 panggilan ke Triple Zero gagal dan dikaitkan dengan empat kematian termasuk seorang bayi berusia lapan minggu.

Menteri Komunikasi Australia, Anika Wells, berkata Optus akan berdepan tindakan tegas susulan gangguan 18 Sept yang menjejaskan pelanggan di kawasan tengah dan barat negara itu.

Pada November 2024, Pihak Berkuasa Komunikasi dan Media Australia mengenakan denda sebanyak A$12 juta (kira-kira US$7.9 juta) ke atas Optus ekoran gangguan rangkaian seluruh negara pada November 2023, yang menyebabkan 2,145 orang gagal menghubungi Triple Zero.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan