MANILA, 1 Okt (Bernama-PNA) -- Jabatan Pelancongan (DOT) Filipina pada Rabu menasihati semua pelancong supaya kekal berwaspada dan mengesahkan status destinasi mereka sebelum melakukan perjalanan susulan gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter melanda Bogo City, Cebu pada Selasa, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
“Pelancong dinasihatkan untuk mengesahkan status destinasi sebelum melakukan perjalanan.
“Beberapa lokasi pelancongan di kawasan terjejas mungkin ditutup sementara pemeriksaan keselamatan sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan berkata pejabat-pejabatnya kini “beroperasi sepenuhnya” bagi memenuhi keperluan pelancong dan pihak berkepentingan.
“Saluran dibuka untuk pelancong yang memerlukan bantuan: Talian hotline – 151-TOUR (151-8687); no. telefon – 0954-253-3215; E-mel - touristassistance@tourism.gov.ph; Click2Call dan Live Webchat – laman sesawang korporat DOT www.tourism.gov.ph,” menurut kenyataan itu.
DOT juga bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (LGU) untuk menilai tahap keselamatan jalan serta jambatan, selain meneliti keadaan premis pelancongan dan pekerja yang terjejas.
Setakat ini, tiada senarai rasmi penutupan lokasi tarikan pelancongan dikeluarkan.
Menurut laporan situasi Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC), sekurang-kurangnya dua pelabuhan terjejas dengan 134 penumpang masih terkandas di Visayas Tengah.
Gempa bumi kuat melanda Bogo, Cebu pada 9.59 malam Selasa, dengan gegaran turut dirasai di beberapa wilayah di Visayas serta sebahagian Luzon dan Mindanao.
-- BERNAMA-PNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial