DUNIA > BERITA

Penyelamat Keluarkan 5 Mangsa Terselamat Dalam Runtuhan Bangunan Sekolah Di Jawa Timur

02/10/2025 04:11 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 2 Okt (Bernama) -- Pasukan penyelamat mengeluarkan lima mangsa terselamat daripada runtuhan sebuah bangunan pondok pengajian Islam berasrama di Jawa Timur, Indonesia ketika angka korban meningkat kepada lima orang, menurut pihak berkuasa.

Mereka ditemukan di Pondok Pesantren Al Khoziny di Buduran, Kabupaten Sidoarjo dalam operasi mencari dan menyelamat bersama yang diteruskan sehingga lewat Rabu malam, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).

Seorang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal dan dikejarkan ke Hospital Sidoarjo bersama mangsa yang lain, kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dua lagi mayat telah dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Siti Hajar, sekali gus meningkatkan angka kematian kepada lima orang.

Abdul Muhari berkata data sementara menunjukkan 59 orang masih terperangkap, walaupun angka itu mungkin berubah kerana ada mangsa terselamat yang mungkin berada di luar kawasan ketika insiden itu berlaku dan masih belum melaporkan diri.

Pasukan penyelamat juga sedang mencari tanda-tanda kehidupan daripada seorang mangsa, tetapi memberi amaran bahawa struktur yang tidak stabil menjadikan penggunaan jentera berat agak berisiko, sambil menambah bahawa keluarga akan dirujuk sebelum menggunakan peralatan itu dalam usaha mencari dan menyelamat.

"Mangsa dipercayai berada di lokasi yang amat sukar, memerlukan strategi khas untuk memastikan keselamatan mangsa dan pasukan penyelamat," tambahnya.

Bangunan empat tingkat itu runtuh pada petang Isnin ketika kerja-kerja menuangkan konkrit di bahagian tingkat atas sedang dijalankan, menyebabkan pelajar dan pekerja tertimbus di bawah runtuhan dalam kejadian yang disifatkan pihak berkuasa berpunca daripada kegagalan struktur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan