DUNIA > BERITA

Asean Sokong Gencatan Senjata Serta-merta Dipersetujui Kemboja Dan Thailand

30/12/2025 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- ASEAN menyambut baik hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ketiga antara Kemboja dan Thailand yang diadakan pada Sabtu (27 Dis), yang membawa kepada komitmen terhadap gencatan senjata serta-merta dan langkah meredakan ketegangan.

Pengerusi ASEAN menyatakan sokongannya terhadap Kenyataan Bersama yang dimuktamadkan oleh kedua-dua negara di Pintu Masuk Antarabangsa Prum (Wilayah Pailin, Kemboja) – Ban Pak Kard (Wilayah Chanthaburi, Thailand).

“Kami mengalu-alukan persetujuan terhadap dua set langkah, iaitu langkah meredakan ketegangan serta mekanisme bagi pelaksanaan dan pengesahan langkah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ia turut menekankan komitmen kedua-dua pihak terhadap pelaksanaan gencatan senjata serta-merta yang berkuat kuasa pada 12 tengah hari waktu tempatan pada Sabtu.

Gencatan senjata itu merangkumi semua jenis senjata, termasuk serangan terhadap orang awam, objek awam dan infrastruktur serta sasaran ketenteraan kedua-dua pihak, di semua kawasan dan dalam semua keadaan.

Bagi memastikan komitmen itu dipatuhi, ASEAN menegaskan kepentingan berterusan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) dan mengambil maklum bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh peranan pasukan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, AOT akan bekerjasama dengan Pengerusi ASEAN bagi mengesahkan serta memastikan pelaksanaan berkesan semua langkah yang dipersetujui, selaras dengan mandatnya.

Kenyataan itu turut merujuk usaha terdahulu untuk menstabilkan rantau berkenaan, khususnya pengaturan gencatan senjata pada 28 Julai 2025 dan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur pada 26 Okt 2025.

ASEAN mengalu-alukan komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan dan memperkukuh pelaksanaan perjanjian-perjanjian terdahulu demi memulihkan keyakinan, mengembalikan keadaan normal serta memastikan keamanan berkekalan di sepanjang kawasan sempadan.

“Kami terus menegaskan komitmen kami terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN dan prinsip Kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mengesahkan komitmen bersama untuk menahan diri daripada penggunaan kekerasan serta menyelesaikan pertikaian secara aman selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

“Kami bersedia menyokong usaha berterusan, termasuk melalui jasa baik Pengerusi ASEAN serta usaha oleh negara-negara anggota ASEAN dan rakan kongsi luar, bagi memudahkan pelaksanaan berkesan langkah-langkah yang dipersetujui serta menggalakkan persekitaran yang kondusif kepada keamanan yang berkekalan, kestabilan dan hubungan kejiranan yang baik antara Kemboja dan Thailand,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan