DUNIA > BERITA

Mexico Kenakan Tarif Ke Atas China, Negara Asia Lain

31/12/2025 03:39 PM

MEXICO CITY, 31 Dis (Bernama–Anadolu) -- Mexico pada Selasa melaksanakan satu siri baharu tarif import ke atas beberapa negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengannya, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Langkah yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Ekonomi itu mengenakan tarif sehingga 35 peratus ke atas import dari negara Asia seperti China, India, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, berkuat kuasa mulai 1 Januari.

Dekri itu menyemak semula tarif import ke atas 1,463 barisan produk yang meliputi pelbagai jenis barangan dalam beberapa industri, termasuk automotif, tekstil, pakaian, plastik, keluli, peralatan rumah, aluminium, mainan, perabot, kasut, barangan kulit, kertas dan kadbod, motosikal serta kaca.

Menurut kementerian itu, langkah itu bertujuan melindungi kira-kira 350,000 pekerjaan di seluruh negara dalam sektor sensitif seperti kasut, tekstil, pakaian, keluli dan pembuatan automotif, selain menyumbang kepada “perindustrian semula yang berdaulat, mampan dan inklusif dalam sektor strategik ekonomi Mexico.”

Tarif yang diluluskan awal bulan ini oleh Kongres Mexico, yang menegaskan bahawa langkah itu tidak ditujukan kepada mana-mana negara tertentu, sebaliknya bertujuan memperkukuh industri yang dianggap strategik kepada ekonomi negara.

Kerajaan Mexico berkata tarif berkenaan bertujuan meningkatkan kandungan nasional dalam rantaian pengeluaran sebanyak 15 peratus, dengan menggalakkan pengeluaran domestik yang lebih besar serta penggantian input import dengan alternatif yang dibangunkan dalam negara.

Dasar itu dijangka membawa kepada menjana 1.5 juta peluang pekerjaan dan meningkatkan pelaburan domestik sehingga 28 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

--BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan