DUNIA > BERITA

Bekas Setiausaha Luar Pakistan Dilantik Setiausaha Agung D-8

03/01/2026 06:34 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 3 Jan (Bernama) -- Bekas Setiausaha Luar Pakistan Sohail Mahmood, memulakan tugas sebagai Setiausaha Agung Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8). 

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Isiaka Abdulqadir Imam dari Nigeria di ibu pejabat pertubuhan berkenaan di Istanbul pada Jumaat.

Setiausaha agung baharu itu bersama pendahulunya menegaskan potensi besar D-8 serta peluang luas untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi ekonomi, menurut kenyataan pertubuhan itu.

Keanggotaan D-8 terdiri daripada Azerbaijan, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

Sohail memegang beberapa jawatan penting sepanjang kerjaya diplomatiknya selama empat dekad, termasuk berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke New Delhi dari Ogos 2017 hingga April 2019, dan sebelum itu sebagai Duta Besar Pakistan ke Turkiye.

Beliau bersara daripada perkhidmatan luar selepas berkhidmat sebagai setiausaha luar Pakistan ke-30 dari April 2019 hingga September 2022.

Sebelum menyandang jawatan baharu di D-8, Sohail mengetuai Institut Kajian Strategik di Islamabad.

Dengan gabungan keluaran dalam negara kasar sekitar US5 trilion dan populasi melebihi 1.2 bilion, D-8 bertujuan menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih erat dalam kalangan negara anggotanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan