MOSCOW, 5 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Pentadbiran Trump akan memberi taklimat kepada sekumpulan ahli Kongres daripada kedua-dua parti mengenai pendirian Kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap Venezuela dalam satu mesyuarat tertutup rahsia pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut CNN yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu, peserta dijangka menghadiri terdiri daripada ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Perkhidmatan Bersenjata Senat serta Dewan Perwakilan.
Taklimat itu dijangka berlangsung pada 5.30 petang (22:30 GMT). Antara yang dijangka menyampaikan taklimat ialah Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, Setiausaha Negara Marco Rubio, Peguam Negara Pam Bondi, Pengarah CIA John Ratcliffe serta Pengerusi Ketua Turus Bersama Dan Caine.
Terdahulu, Ketua Minoriti Dewan Perwakilan AS Hakeem Jeffries, menolak dakwaan pentadbiran Trump yang tindakan mereka di Venezuela adalah satu operasi penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya menyifatkannya sebagai satu tindakan perang yang memerlukan kelulusan Kongres.
Pada 3 Januari, Amerika Syarikat melancarkan serangan besar-besaran ke atas Venezuela, menahan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya Cilia Flores, serta membawa mereka ke New York. Presiden AS Donald Trump mengumumkan yang Maduro dan Flores akan dibicarakan atas dakwaan terlibat dalam “keganasan-narko” dan dianggap sebagai ancaman, termasuk kepada Amerika Syarikat.
Caracas memohon satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan sebagai tindak balas terhadap operasi AS itu, manakala Mahkamah Agung Venezuela buat sementara waktu menyerahkan tugas ketua negara kepada Naib Presiden Delcy Rodriguez.
Kementerian Luar Rusia menyatakan pendiriannya berhubung situasi di Venezuela dengan menyeru pembebasan Maduro dan isterinya serta menggesa agar keadaan tidak terus meruncing. Beijing, menyusuli seruan Moscow, turut menyeru pembebasan segera Maduro dan isterinya, sambil menegaskan yang tindakan AS itu melanggar undang-undang antarabangsa.
--BERNAMA-SPUTNIK
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial