DUNIA > BERITA

Poland Akan Perkenal Undang-undang Sekat Individu Bawah 16 Tahun Layari Media Sosial

06/01/2026 04:32 PM

WARSAW, 6 Jan (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Hal Ehwal Digital Poland mendedahkan pada Isnin rancangannya untuk memperkenal beberapa langkah pada tahun ini bagi menyekat kanak-kanak daripada menggunakan media sosial dengan mewajibkan platform mengesahkan umur pengguna ketika akaun dicipta, lapor Anadolu Ajansi.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Digital Dariusz Standerski menerusi catatan di platform X berkata Poland perlu “menyekat golongan muda berumur bawah 16 tahun daripada media sosial.”

Menurut Standerski, apabila seseorang pengguna mencipta akaun media sosial, mereka akan diminta mengesahkan umur mereka, selepas itu satu kelayakan akan dijana dalam dompet identiti digital.

Beliau berkata Poland sedang berkerjasama dengan negara anggota lain yang sedang menguji sistem serupa dan Suruhanjaya Eropah juga sedang mengusahakan pendekatan pengesahan umur yang diselaraskan di seluruh blok 27 negara anggota.

Cadangan Poland itu sejajar dengan langkah di beberapa negara Eropah lain susulan keputusan Australia untuk menyekat akses media sosial bagi mereka yang berumur bawah 16 tahun.

Perancis sedang menyediakan perundangan yang akan melarang media sosial untuk individu berusia  bawah 15 tahun bermula tahun persekolahan 2026, manakala Denmark juga mengumumkan rancangan untuk mengenakan sekatan terhadap golongan bawah 15 tahun.

Pada November, Parlimen Eropah menyokong satu laporan yang menyeru penetapan umur minimum 16 tahun di seluruh EU untuk akses media sosial, sambil membenarkan mereka berumur 13 hingga 15 tahun menggunakan platform dengan kebenaran ibu bapa, di samping perlindungan yang lebih kukuh untuk golongan bawah umur.

Pada akhir Disember, Poland menggesa Suruhanjaya Eropah agar menyiasat TikTok berhubung kandungan janaan kecerdasan buatan (AI) yang menurut pegawai Poland kelihatan mempromosi naratif anti-Kesatuan Eropah.

Standerski berkata kerajaan menjangkakan akan mempunyai peralatan teknikal yang diperlukan menjelang 2026 dan percaya keadaan itu menjadikan tahun ini “masa yang sesuai” untuk memperkenalkan peraturan berkenaan.

--BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan