DUNIA > BERITA

TMM 2026: Malaysia Sasar 4.6 Juta Pelancong Indonesia

11/01/2026 02:21 PM

JAKARTA, 11 Jan (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk menarik 4.6 juta pelancong dari Indonesia tahun ini sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata unjuran itu berdasarkan trend peningkatan pelancong Indonesia ke Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, serta aktiviti promosi berskala besar yang dirancang sepanjang 2026.

“Pada 2024, Malaysia menerima sekitar 4.1 juta pelancong dari Indonesia dan sehingga November tahun lalu, kira-kira 3.8 juta pelancong Indonesia direkodkan.

“Oleh itu, kami menjangkakan sasaran 4.6 juta pelancong tahun ini dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen TMM 2026 yang diadakan dengan kerjasama AirAsia Indonesia, di sini pada Ahad.

Turut hadir Ketua Hal Ehwal dan Dasar Indonesia AirAsia Eddi Krismeidi Soemawilaga serta Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Mohamad Hasrin berkata sebanyak 320 program berskala besar telah dirancang bagi menyerlahkan keunikan tarikan semula jadi Malaysia, aktiviti pengembaraan dan landskap bandar yang dinamik sepanjang kempen TMM 2026 bertemakan “Surreal Experiences”.

Sementara itu, Eddi yang juga Presiden Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) berkata ketika ini terdapat 396 penerbangan terus AirAsia dari 16 bandar di Indonesia ke Malaysia setiap minggu, dengan jumlah kapasiti tempat duduk sebanyak 72,822.

Beliau menambah bahawa Indonesia AirAsia turut merancang membuka laluan baharu ke Malaysia yang dijangka dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan