Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 3 Feb (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mengumumkan akan mengurangkan tarif ke atas barangan India kepada 18 peratus selepas mencapai persetujuan perdagangan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi, yang menyaksikan India "bersetuju untuk menghentikan" pembelian minyak dari Rusia.
India juga akan "mengambil langkah serupa untuk mengurangkan" tarif serta halangan bukan tarif terhadap AS kepada "sifar", kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social selepas perbualan telefon dengan Modi bagi mengumumkan persetujuan itu.
Pemimpin AS itu berkata Modi turut memberi komitmen untuk membeli barangan Amerika "pada tahap yang jauh lebih tinggi," sebagai tambahan kepada produk tenaga, teknologi, pertanian, arang batu dan barangan lain yang bernilai lebih US$500 bilion.
"Hubungan luar biasa kami dengan India akan menjadi lebih kukuh pada masa hadapan," kata Trump.
Tahun lepas, Trump mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan India serta penalti tambahan 25 peratus kerana membeli tenaga dari Rusia.
"Kami membincangkan banyak perkara, termasuk perdagangan serta menamatkan perang dengan Rusia dan Ukraine. Beliau bersetuju untuk berhenti membeli minyak Rusia, dan akan membeli lebih banyak dari Amerika Syarikat dan mungkin juga dari Venezuela," tulis Trump, sambil menambah bahawa perjanjian dengan India itu akan membantunya menamatkan perang Rusia-Ukraine.
India menjadi pembeli utama minyak Rusia sejak konflik Ukraine bermula pada 2022, namun syarikat-syarikat negara itu baru-baru ini mula mengurangkan import tenaga Rusia susulan tekanan tarif oleh AS.
Pengumuman Trump itu disambut baik di India.
"Amat gembira kerana produk 'Buatan India' kini akan dikenakan tarif yang dikurangkan kepada 18 peratus. Ribuan terima kasih kepada Presiden Trump bagi pihak 1.4 bilion rakyat India atas pengumuman yang hebat ini," kata Modi menerusi hantaran di X.
"Kepimpinan Presiden Trump sangat penting untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran global. India menyokong penuh usaha beliau untuk keamanan," katanya.
Menteri Perdagangan India Piyush Goyal menyifatkan perjanjian itu sebagai "bersejarah", dengan menyatakan ia akan membuka "peluang yang belum pernah terjadi sebelum ini" bagi petani dan perniagaan India, selain membantu negara itu memperoleh teknologi dari AS.
"Ia bukan sekadar perjanjian perdagangan -- ia adalah titik perubahan bersejarah yang akan membentuk semula hubungan India-AS," kata Goyal.
Sementara itu, Duta AS ke India Sergio Gor menyuarakan keterujaannya terhadap berita itu dan menegaskan bahawa hubungan dua hala itu mempunyai "potensi tanpa had."
Presiden Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah, Nitin Nabin, menyifatkan perjanjian itu sebagai pemangkin kepada ekonomi India, manakala Menteri Dalam Negeri Amit Shah berkata ia akan "meningkatkan perkongsian strategik" kedua-dua negara.
Menurut data perdagangan AS, jumlah dagangan barangan dan perkhidmatan AS-India mencecah kira-kira US$212.3 bilion pada 2024.
Defisit perdagangan barangan AS dengan India direkodkan sebanyak US$45.8 bilion pada 2024, dengan nilai pertukaran barangan mencecah US$128.9 bilion.
Sebelum ini, tarif punitif yang dikenakan oleh Trump telah menjadi bebanan besar kepada pengeksport India.
"Ini adalah kemenangan besar dari sudut ekonomi dan diplomatik buat India," kata Shamika Ravi, ahli majlis penasihat ekonomi Modi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial