DUNIA > BERITA

Laporan PBB Dedah Penyeksaan, Penderaan Dalam Rangkaian Penipuan Global

21/02/2026 09:41 AM

GENEVA, 21 Feb (Bernama-Anadolu) -- Satu laporan baharu oleh pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Jumaat mendedahkan penyeksaan meluas, penderaan seksual dan menjadi buruh paksa yang dialami mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi penipuan berskala besar, terutamanya di Asia Tenggara dan kini semakin berkembang ke seluruh dunia.

 Anadolu Ajansi melaporkan bahawa berdasarkan temu bual dengan mangsa yang terselamat dari pelbagai negara yang mereka diperdagangkan antara 2021 dan 2025, laporan itu menyifatkan mangsa terpedaya dengan tawaran pekerjaan palsu sebelum dipaksa dengan menggunakan kekerasan bagi menjalankan skim penipuan dalam talian.

Penderaan yang dilaporkan termasuklah tidak diberi makanan, pengguguran paksa, dikurung  bersendirian dan dipukul dengan teruk.

Imej satelit dan laporan lapangan menunjukkan hampir tiga perempat daripada operasi ini tertumpu di Wilayah Mekong, walaupun rangkaian terlibat telah berkembang ke negara-negara Kepulauan Pasifik, Asia Selatan, negara Teluk, Afrika Barat dan benua Amerika.

"Layanan yang dialami oleh individu dalam konteks operasi penipuan ini adalah amat membimbangkan," menurut laporan itu.

Mangsa yang terselamat menceritakan bahawa mereka ditahan di kawasan dengan kawalan ketat yang menyerupai bandar serba lengkap, dengan sesetengahnya meliputi kawasan seluas lebih  202.34 hektar.

Kegagalan untuk memenuhi kuota penipuan sering mengakibatkan hukuman. Seorang mangsa dari Sri Lanka berkata pekerja yang gagal mencapai sasaran akan direndam selama berjam-jam dalam bekas air yang dikenali sebagai "penjara air."

Mangsa juga melaporkan taktik pemerasan yang menyasarkan keluarga, termasuk panggilan video yang menunjukkan penderaan bagi mendesak saudara-mara membayar wang tebusan.

"Senarai penderaan ini amat mengejutkan dan pada masa yang sama menyayat hati. Namun, daripada menerima perlindungan, penjagaan dan pemulihan... mangsa terlalu kerap berdepan dengan rasa tidak percaya, stigmatisasi dan juga hukuman lanjut," kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk.

Turk menggesa langkah pembanterasan pemperdagangan orang berasaskan hak asasi, laluan migrasi yang selamat, dan tindakan lebih tegas terhadap rasuah yang membolehkan rangkaian jenayah itu beroperasi.

"Mestilah ada peningkatan ketersediaan dan akses kepada laluan migrasi buruh yang selamat serta pengawasan yang bermakna terhadap pengambilan pekerja, seperti pengesahan jawatan kosong dalam talian dan mengesan corak pengambilan yang mencurigakan," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan