WASHINGTON, 21 Feb (Bernama-Kyodo) -- Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat membatalkan tarif yang digelar sebagai tarif “timbal balas” oleh Presiden Donald Trump yang menyasarkan hampir semua rakan dagang utama negara itu, sekali gus memberi tamparan besar kepada dasar ekonomi utamanya dan berkemungkinan merumitkan hubungan Washington dengan seluruh dunia, lapor Kyodo News.
Mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa Trump melangkaui kuasa presidennya apabila menggunakan undang-undang darurat era 1970-an tahun lepas untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.
Trump menyifatkan keputusan itu sebagai “amat mengecewakan” dan mendakwa ia adalah “tidak tepat”.
“Saya malu dengan sesetengah hakim mahkamah itu, benar-benar malu kerana tidak mempunyai keberanian untuk melakukan apa yang betul untuk negara kita,” katanya kepada pemberita.
Trump berkata negara asing pasti “sangat gembira dan mereka menari di jalanan, tetapi mereka tidak akan menari lama -- itu saya boleh jamin.” Beliau berkata pentadbirannya mempunyai “alternatif yang sangat berkuasa” untuk langkah seterusnya.
Beliau turut memaklumkan akan menandatangani perintah bagi mengenakan tarif global baharu sebanyak 10 peratus di bawah undang-undang lain.
Tahun lalu, beliau menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa 1977 untuk melaksanakan tarif itu dengan segera tanpa kelulusan Kongres, walaupun percukaian merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada cabang perundangan.
Semasa hujahan lisan pada awal November, majoriti daripada sembilan hakim mahkamah itu - enam daripadanya dilantik oleh presiden daripada Parti Republikan - telah menunjukkan keraguan terhadap kuasa Trump untuk memintas Kongres dalam mengenakan tarif dua digit itu.
Keputusan muktamad 6-3 itu dijangka memberi implikasi besar terhadap matlamat ekonomi dan dasar luar beliau, selain kepada kerajaan dan perniagaan di seluruh dunia.
Ketua Hakim John Roberts, yang dilantik oleh Presiden George W. Bush, berkata Trump tidak boleh mewajarkan tindakan luar biasa beliau secara sah.
“Presiden menuntut kuasa luar biasa untuk mengenakan tarif secara unilateral tanpa had dari segi kadar, tempoh dan skop. Berdasarkan keluasan, sejarah dan konteks perlembagaan kuasa yang dituntut itu, beliau perlu mengenal pasti kebenaran jelas daripada Kongres untuk melaksanakannya,” tulis Roberts bagi pihak majoriti.
Tarif merupakan teras agenda “America First” Trump. Presiden daripada Parti Republikan itu berhujah bahawa tarif akan menghidupkan semula sektor pembuatan AS, mewujudkan pekerjaan, mengurangkan hutang negara, meningkatkan hasil cukai serta memperkukuh kedudukan rundingan Amerika untuk mendapatkan konsesi daripada negara lain.
Pada awal tahun lalu, pentadbiran Trump memperkenalkan tarif ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico, dengan menuduh tiga rakan dagang utama AS itu gagal membendung kemasukan fentanyl yang membawa maut ke AS.
Pada April, Trump mengumumkan tarif “Hari Pembebasan” yang merangkumi tarif sejagat sebanyak 10 peratus, selain duti tambahan berbeza ke atas puluhan negara yang mencatatkan defisit perdagangan besar dengan AS.
Undang-undang darurat yang dikenali sebagai IEEPA itu memperuntukkan bahawa ia boleh digunakan “untuk menangani sebarang ancaman luar biasa dan luar jangka, yang berpunca secara keseluruhan atau sebahagian besarnya dari luar AS, terhadap keselamatan negara, dasar luar atau ekonomi.”
Tiada presiden sebelum ini menggunakan undang-undang berkenaan untuk mengenakan tarif. Banyak syarikat AS dan asing telah memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump bagi mencabar kesahihan langkah berasaskan IEEPA itu dan memastikan mereka menerima bayaran balik sekiranya Mahkamah Agung membatalkannya.
Mahkamah Agung tidak menyatakan sama ada kerajaan AS perlu memulangkan hasil yang telah dikutip daripada cukai import itu.
Pegawai kanan pentadbiran Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa mereka akan menggunakan peruntukan undang-undang alternatif untuk mengenakan semula tarif berkenaan sekiranya mahkamah tertinggi memutuskan menentang presiden.
Pertikaian undang-undang berhubung tarif global itu, yang difailkan oleh perniagaan kecil dan belasan negeri di AS, tidak mempunyai kaitan dengan tarif sektor tertentu yang diperkenalkan pentadbiran Trump.
Tarif khusus sektor yang dikenakan atas alasan keselamatan negara sejak Trump kembali memegang jawatan pada Januari tahun lalu, seperti yang menyasarkan import kereta dan keluli, dibenarkan di bawah Seksyen 232 Akta Peluasan Perdagangan 1962.
Undang-undang itu mensyaratkan siasatan dijalankan sebelum tarif boleh dikenakan.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial