VIENNA, 21 Feb (Bernama-dpa) -- Empat lagi pemain ski terkorban dalam runtuhan salji di Austria pada Jumaat, menurut pihak berkuasa, menambah bilangan kejadian maut pada musim sejuk kali ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dua mangsa ditemukan maut susulan runtuhan salji di pusat peranginan ski St Anton am Arlberg yang terletak di bahagian barat.
Kesemua mangsa dikeluarkan daripada timbunan salji namun gagal diselamatkan, kata seorang jurucakap polis.
Daripada tiga mangsa lain yang pada awalnya diselamatkan dengan kecederaan, seorang daripadanya dilaporkan meninggal dunia di hospital pada sebelah petang. Pihak berkuasa belum dapat memberikan butiran segera mengenai umur atau kewarganegaraan mangsa.
Terdahulu, seorang pemain ski warga Jerman berusia 42 tahun maut dalam runtuhan salji di kawasan ski Nauders di Tyrol. Lelaki itu sedang bermain ski di luar trek rasmi bersama anak lelakinya yang berusia 16 tahun, yang terselamat dengan kecederaan parah, menurut polis.
Dua beranak itu cuba melintasi lereng yang menghadap ke utara apabila kepingan salji selebar kira-kira 400 meter runtuh, menolak mereka sejauh 200 hingga 300 meter ke bawah bukit.
Salji baharu setebal sehingga 40 sentimeter turun di beberapa bahagian di Tyrol dalam beberapa hari kebelakangan ini. Pihak berkuasa memberi amaran bahawa keadaan runtuhan salji kekal berbahaya.
Lebih 30 runtuhan salji direkodkan di Tyrol pada Rabu sahaja. Tiga orang maut di Tyrol dan di wilayah jiran, Vorarlberg.
-- BERNAMA-DPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial