KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pengulas politik dan penulis Nick Adams, yang dicalonkan sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baharu pada Julai lalu, tidak akan menjawat jawatan tersebut, menurut laporan.
Adams yang dilahirkan di Australia mengesahkan kepada The Sydney Morning Herald bahawa beliau tidak akan menjadi duta AS ke Malaysia yang seterusnya, namun membayangkan peranan baharu yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
“Saya telah dinaikkan pangkat daripada jawatan duta!” katanya kepada saluran berita itu dalam satu jawapan e-mel.
Pencalonannya tidak pernah disahkan oleh Senat dan telah tamat tempoh pada akhir tahun ini, selaras dengan prosedur, menurut laporan itu.
Menurut laman web Kongres AS, pencalonannya telah dikembalikan kepada Presiden pada Januari di bawah peruntukan Peraturan Senat XXXI, perenggan 6 Peraturan Tetap Senat.
Menurut laporan media, Adams tidak disenaraikan dalam senarai panjang pencalonan yang dikemukakan semula kepada Senat pada Januari. Beliau juga tidak termasuk dalam senarai lain yang dikemukakan bulan ini.
Adams, dalam satu hantaran di X pada 23 Feb, memberi gambaran bahawa “Pengumuman Besar Akan Datang!” tanpa memberikan butiran lanjut.
“Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan minggu hadapan. Saya pasti anda akan melihatnya jika anda mengikuti perkembangannya,” katanya dalam jawapan kepada saluran berita itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial