BEIJING, 3 Mac (Bernama-CMG) -- Menteri Luar China Wang Yi mengulangi pendirian Beijing untuk menyokong penuh usaha Iran dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan, keutuhan wilayah dan maruah negara itu.
Beliau membuat kenyataan itu selepas dimaklumkan mengenai perkembangan terkini situasi Iran oleh rakan sejawatnya dari negara itu, Seyed Abbas Araghchi menerusi perbualan telefon pada Isnin.
Menurut Araghchi, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran buat kali kedua ketika rundingan berkenaan sedang berjalan.
Beliau berkata tindakan AS itu melanggar undang-undang antarabangsa dan melangkaui garis merah Iran, meskipun kedua-dua pihak sebelum ini mencapai kemajuan positif dalam rundingan pusingan baharu.
Sehubungan itu, Tehran tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan diri, katanya.
Dalam perbualan telefon itu, Wang turut menyatakan sokongan kepada usaha Iran dalam memelihara hak dan kepentingan sah negara berkenaan.
Beliau berkata China telah mendesak AS dan Israel supaya menghentikan operasi ketenteraan serta-merta bagi mengelakkan ketegangan terus memuncak dan mencegah konflik daripada merebak ke seluruh Timur Tengah.
China yakin bahawa Iran akan mengekalkan kestabilan negara dan sosial, selain mengambil berat terhadap kebimbangan negara jiran serta menjamin keselamatan warganegara dan institusi China di Iran.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial