DUNIA > BERITA

Rakyat Malaysia Di UAE Dinasihatkan Cari Tempat Perlindungan Jika Siren Berbunyi

04/03/2026 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) digesa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, termasuk mematuhi amaran siren kecemasan dan mendapatkan perlindungan segera, kerana kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.

Dalam catatan pada halaman Facebooknya, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi berkongsi poster yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri UAE bertajuk "Apa Yang Perlu Dilakukan Apabila Anda Mendengar Siren Amaran."

Kementerian itu menyatakan bahawa sesetengah orang awam meninggalkan rumah atau tempat kediaman mereka, malah memberhentikan kereta mereka untuk merakam video apabila amaran dikeluarkan.

"Amaran itu dikeluarkan untuk keselamatan anda. Anda mesti patuh dengan menuju ke tempat selamat dan berlindung di sana sehingga amaran keadaan selamat atau tiada bahaya (all clear) dikeluarkan untuk kawasan itu," menurut kenyataan itu.

Jika anda berada di dalam kereta anda, teruskan ke destinasi yang dituju dan setelah tiba, teruskan ke tempat selamat terdekat, tambahnya.

Kementerian itu memberi amaran bahawa kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan tindakan undang-undang.

"Kami mohon kerjasama anda untuk memastikan perlindungan anda," menurut kementerian itu.

Bagi bantuan konsular, Kedutaan Besar Abu Dhabi, UAE boleh dihubungi menerusi telefon: +971 50 614 6894 atau emel mwabudhabi@kln.gov.my manakala pihak Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan boleh dihubungi di emel mwamman@kln.gov.my atau telefon +962786660220 / +962792707888 / +962785902400.

Kedutaan Malaysia di Muscat boleh dihubungi di mwmuscat@kln.gov.my atau telefon +968 7159 2388.

Sementara itu, rakyat Malaysia di Qatar boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Doha di talian +974 3374 6733 (24 jam) atau emel mwdoha@kln.gov.my.

Kedutaan Malaysia di Kuwait boleh dihubungi di talian +965 9678 3036 (kecemasan) atau mwkuwait@kln.gov.my.

Bagi rakyat Malaysia di Arab Saudi, Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah boleh dihubungi di nombor telefon +966 126 727 740 (kecemasan sahaja) atau emel mwjeddah@kln.gov.my.

Bilik Gerakan Kementerian Luar di Putrajaya turut beroperasi 24 jam yang boleh dihubungi di talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan