BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 DUNIA > BERITA

AS Benarkan Pembelian Sementara Minyak Rusia Di Laut

13/03/2026 04:32 PM

WASHINGTON, 13 Mac (Bernama-dpa) -- Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengeluarkan lesen sementara membenarkan pembelian minyak Rusia yang terdampar di laut ketika Washington berusaha menstabilkan pasaran tenaga yang tergugat akibat konflik di Asia Barat melibatkan Iran, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata dalam siaran di X langkah itu bertujuan "untuk meningkatkan jangkauan global bekalan sedia ada."

“Langkah jangka pendek yang disesuaikan ini hanya terpakai pada minyak yang sudah dalam transit dan tidak akan memberikan manfaat kewangan ketara kepada kerajaan Rusia, yang memperoleh sebahagian besar hasil tenaganya daripada cukai yang dinilai pada titik pengekstrakan," katanya.

Lesen itu membenarkan penghantaran dan penjualan minyak mentah Rusia dan produk petroleum yang telah dimuatkan ke dalam kapal setakat 12 Mac, menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan.

Kebenaran itu berkuat kuasa hingga tengah malam waktu Washington pada 11 April.

Langkah itu dibuat apabila pasaran tenaga terjejas susulan konflik di Asia Barat. Jumlah penghantaran melalui Selat Hormuz, antara laluan terpenting dunia untuk eksport minyak global, telah menurun dengan mendadak dalam ketegangan serantau yang semakin memuncak.

Awal bulan ini, AS memberikan India pengecualian selama 30 hari membenarkan pembelian minyak Rusia yang sudah berada di laut.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan