BEIJING, 13 Mac (Bernama-CMG) -- Menyokong penyelesaian masalah serantau melalui dialog dan rundingan, dan menentang penggunaan kekerasan secara sewenang-wenangnya, merupakan konsensus yang dicapai oleh China dan Mesir, mengenai peperangan yang berlaku di Asia Barat pada masa sekarang.
Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi mengenai perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty di sini pada Khamis.
Wang berkata, konflik yang berlarutan di kawasan Asia Barat hanya akan membawa lebih banyak kesengsaraan kepada rakyat tempatan, memberi kesan negatif yang besar kepada ekonomi serantau, dan menjejaskan keselamatan serta kestabilan antarabangsa dan serantau.
"Mewujudkan gencatan senjata serta menghentikan peperangan merupakan seruan dari kebanyakan negara di arena antarabangsa, dan pihak-pihak terbabit seharusnya didesak segera menekan 'butang berhenti' untuk menoktahkan operasi ketenteraan supaya dapat mengelakkan situasi semasa daripada meruncing lagi.
"China bersedia untuk terus melakukan komunikasi dan penyelarasan dengan negara-negara serantau termasuk Mesir, serta meneruskan peranan konstruktif dalam usaha mencapai keamanan," kata Wang.
Sementara itu, Badr Abdelatty telah berkongsi situasi serantau dan pendirian Mesir, dan menyatakan bahawa pihaknya amat bimbang akan peperangan yang berlaku di kawasan itu pada masa sekarang.
Mesir amat menghargai pendirian China yang seimbang dan adil serta peranan penting yang dimainkannya, dan bersedia terus berkomunikasi rapat dengan China tentang usaha membantu meredakan ketegangan dengan secepat mungkin.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial