PARIS, 28 Mac (Bernama-Kyodo) -- Menteri-menteri luar negara Kumpulan Tujuh (G7) pada Jumaat menggesa serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam dihentikan serta-merta ketika perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran berlanjutan hampir sebulan, lapor Kyodo News.
"Kami menekankan kepentingan meminimumkan kesan konflik ke atas rakan kongsi serantau dan penduduk awam dan infrastruktur kritikal serta keperluan untuk menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan," menurut kenyataan bersama menteri-menteri berkenaan selepas pertemuan di Abbaye des Vaux-de-Cernay dekat sini.
Diplomat tertinggi negara demokrasi terkemuka dunia itu termasuk Perancis, Jepun dan AS turut menekankan keperluan "untuk memulihkan secara kekal kebebasan pelayaran yang aman dan bebas tol di Selat Hormuz", laluan air kritikal bagi bekalan tenaga global yang sebahagian besarnya disekat Iran sejak perang bermula pada 28 Feb.
Mereka juga berkata "tiada justifikasi" untuk serangan ke atas kemudahan diplomatik.
Anggota G7 turut terdiri daripada Britain, Kanada, Jerman dan Itali serta Kesatuan Eropah.
Perancis sebagai tuan rumah mengundang menteri luar Brazil, India, Korea Selatan, Arab Saudi dan Ukraine serta Bank Pembinaan Semula dan Pembangunan Eropah untuk menghadiri sebahagian perbincangan.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial