DUNIA > BERITA

Kapal Tangki Minyak Kuwait Disasarkan Dalam “serangan Iran” Di Pelabuhan Dubai

31/03/2026 10:28 AM

ISTANBUL, 31 Mac (Bernama-Anadolu) -- Kuwait Petroleum Corporation mengumumkan bahawa kapal tangki minyak mentah sangat besar (VLCC) Kuwait, Al Salmi diserang sebuah dron Iran pada tengah malam Selasa ketika berada di kawasan berlabuh Pelabuhan Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Kuwait Petroleum Corporation, kapal tangki itu diserang pada 12.10 tengah malam waktu tempatan (2010GMT Isnin).

Kapal berkenaan membawa muatan penuh minyak mentah ketika insiden itu berlaku, katanya.

Menurut satu kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Kuwait (KUNA), serangan itu menyebabkan kerosakan material pada badan kapal tangki berkenaan dan mencetuskan kebakaran di atas kapal.

Kuwait Petroleum Corporation memberi amaran kemungkinan berlaku kebocoran minyak ke perairan sekitar.

Pasukan kecemasan kini sedang berusaha mengawal kebakaran dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, katanya.

Kuwait Petroleum Corporation memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan usaha sedang dijalankan untuk menilai tahap kerosakan serta memastikan keselamatan kapal tangki itu dan persekitaran sekeliling.

Niaga hadapan minyak di New York Mercantile Exchange (Nymex) meningkat lebih tiga peratus susulan berita itu dan didagangkan pada paras US$106.05 setong pada 2337GMT.

Minyak mentah Brent didagangkan pada paras US$115.35 setong pada 2306GMT, meningkat 2.57 peratus.

Peningkatan ketegangan serantau berterusan sejak Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb lepas, mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung  ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat, menyebabkan kemalangan jiwa serta kerosakan infrastruktur selain menjejaskan pasaran global dan penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan