DUNIA > BERITA

Hari Reka Bentuk Itali 2026 Pamer Inovasi, Kelestarian Dan Sinergi

01/04/2026 09:20 AM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kedutaan Itali di Malaysia meraikan edisi ke-10 Hari Reka Bentuk Itali 2026 dengan pameran kreativiti, inovasi dan keanggunan Itali yang memukau, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai platform utama bagi kecemerlangan reka bentuk.

Bertemakan “RE-DESIGN. Regenerating spaces, objects, ideas, relationships”, acara itu diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif global untuk meraikan peranan transformatif reka bentuk Itali di samping memupuk dialog dengan komuniti kreatif antarabangsa.

Duta Besar Itali ke Malaysia Raffaele Langella menekankan bahawa tema penjanaan semula menawarkan peluang penting untuk merenung peranan reka bentuk dan seni bina dalam menambah baik ruang kehidupan harian serta kesejahteraan komuniti, dengan menggabungkan kemajuan teknologi, pembuatan dan kreativiti.

“Reka bentuk adalah cara utama untuk mewujudkan hubungan sosial baharu, kenalan, ikatan dan hubungan emosi antara orang ramai serta unit. Ia adalah penzahiran hasil kerja manusia, kreativiti, keupayaan untuk menterjemah idea kepada sesuatu yang sering kali boleh dihasilkan dan dinikmati oleh pihak lain dalam pasaran, supaya pengguna akan mempunyai akses kepadanya,” katanya dalam ucapan perasmian.

Hari Reka Bentuk Itali yang diadakan di kediaman duta itu disertai oleh syarikat dan jenama terkenal Itali termasuk Bialetti, Illy, dan Smeg (reka bentuk dapur dan perindustrian); Boggi, Damiani, dan Giorgio Visconti (barang kemas dan fesyen); Dainese dan Givi (kelengkapan motosikal); iXoost (reka bentuk bunyi); serta Minotti (reka bentuk dalaman).

Pameran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pengusaha batik Malaysia, Kapten Batik, yang mempesonakan tetamu dengan demonstrasi batik secara langsung bagi meraikan penyatuan lancar antara keanggunan reka bentuk Itali dan pertukangan Malaysia.

Langella berkata prestij global reka bentuk Itali juga mencerminkan standard kualiti yang memberi inspirasi kepada industri kreatif di seluruh dunia, terutamanya melalui keupayaannya untuk menyepadukan reka bentuk fizikal dan digital yang berpandukan prinsip ekonomi kitaran.

Duta itu turut mengetengahkan hubungan dua hala yang kukuh antara Itali dan Malaysia, terutamanya dalam sektor kebudayaan dan kreatif, dengan memetik Institut Reka Bentuk Malaysia Itali (MIDI) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai contoh utama kerjasama.

“Pada pandangan saya dan saya tahu bahawa saya juga bercakap bagi pihak ahli delegasi Itali yang lain, Malaysia benar-benar rakan kongsi berpotensi besar, rakan kongsi global, dalam bidang reka bentuk,” katanya.

UniKL-MIDI yang ditubuhkan pada 2018, mewakili platform strategik iaitu tradisi reka bentuk Itali bertemu dengan kepakaran teknikal Malaysia, sekali gus membolehkan pemindahan model “Made in Italy” ke dalam industri dan pendidikan tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan