MOSCOW, 1 April (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kerajaan Filipina berhasrat memulakan rundingan diplomatik dengan Iran bagi memastikan laluan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz tidak terganggu, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan Agensi Berita Filipina dengan merujuk jurucakap presiden, Claire Castro.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, mengarahkan kementerian luar negara untuk menerajui usaha memastikan keselamatan bekalan tenaga negara, menurut laporan itu.
“Presiden telah pun mengarahkan Setiausaha Tess Lazaro … beliau akan berbincang dengan duta Iran, kemungkinan besar esok. Jika tidak, minggu hadapan,” kata Castro seperti dipetik agensi berita itu pada Selasa.
Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam. Iran kemudian membalas dengan melancarkan serangan ke atas wilayah Israel serta kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat.
Peningkatan ketegangan di sekitar Iran menyebabkan sekatan de facto di Selat Hormuz, laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, sekali gus menjejaskan tahap eksport dan pengeluaran minyak di rantau itu serta mendorong kenaikan harga.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial