PARIS, 3 April (Bernama-dpa) -- John Travolta bakal mencipta debut sebagai pengarah pada usia 72 tahun menerusi filem baharunya “Propeller One-Way Night Coach” yang dijadualkan untuk tayangan perdana dunia di Pesta Filem Cannes pada Mei, menurut pihak festival pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Filem itu adalah adaptasi daripada buku Travolta yang diterbitkan pada 1997 dengan judul yang sama.
Pihak festival memaklumkan yang Travolta, seorang peminat penerbangan sejak sekian lama, mula melakukan penerbangan pada usianya 15 tahun dan memperoleh lesen juruterbang pertamanya pada usia 22 tahun.
Propeller One-Way Night Coach mengisahkan perjalanan seorang kanak-kanak lelaki bersama ibunya dalam sebuah penerbangan dan diilhamkan daripada minat Travolta terhadap dunia penerbangan.
Anak perempuan Travolta, Ella Bleu Travolta, turut membintangi filem itu sebagai seorang pramugari.
Filem itu dijadualkan untuk tayangan global di Apple TV pada 29 Mei, selepas tayangan perdananya di Cannes.
Travolta mula mencipta nama pada 1977 menerusi watak Tony Manero dalam filem Saturday Night Fever, yang melayakkannya menerima pencalonan Oscar pertamanya.
Beliau juga meraih kejayaan besar menerusi filem muzikal Grease pada 1978.
Pelakon itu bukan asing di Cannes. Filem arahan Quentin Tarantino, “Pulp Fiction”, yang menampilkan Travolta sebagai pembunuh upahan bernama Vincent Vega, memenangi anugerah Palme d’Or di festival itu pada 1994.
Festival Filem Cannes tahun ini dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial