DUNIA > BERITA

Menteri Luar Negara Eropah Gesa Israel Hentikan Serangan Ke Atas Lubnan

03/04/2026 03:16 PM

BRUSSELS, 3 April (Bernama-Anadolu) -- Sekumpulan menteri luar Eropah pada Khamis menggesa serangan Israel di Lubnan dihentikan serta-merta, mendesak Tel Aviv supaya menghormati sepenuhnya kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan ketika keganasan semakin meningkat di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan bersama, diplomat tertinggi daripada 18 negara menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan yang semakin merosot di Lubnan termasuk perpindahan meluas dan korban awam meningkatkan kebimbangan mengenai kestabilan serantau.

Kenyataan itu menekankan bahawa di Lubnan, kira-kira 1.2 juta orang iaitu satu perempat daripada penduduk, telah kehilangan tempat tinggal manakala lebih 1,000 orang terbunuh setakat ini, majoriti daripada mereka orang awam, termasuk kanak-kanak, pekerja bantuan dan wartawan, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

"Operasi ketenteraan Israel di Lubnan dan serangan Hizbullah mesti dihentikan. Kami menggesa Israel supaya menghormati sepenuhnya kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan dan menyeru semua pihak, baik Hizbullah dan Israel, untuk menghentikan tindakan ketenteraan," kata menteri-menteri berkenaan sambil menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada diplomasi.

Mereka menekankan bahawa Israel bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk prinsip perbezaan, perkadaran dan langkah berjaga-jaga dan menggariskan keperluan untuk melindungi orang awam serta infrastruktur awam.

Sambil mengesahkan sokongan terhadap kedaulatan Lubnan, mereka menggesa usaha diplomatik diperbaharui, termasuk rundingan terus, untuk mencegah peningkatan selanjutnya dan memulihkan kestabilan.

Kenyataan itu mengetengahkan kepentingan akses kemanusiaan dan sokongan antarabangsa untuk Lubnan, serta sokongan kepada kerajaan dan angkatan bersenjata Lubnan dalam menjaga keselamatan dan melaksanakan reformasi.

Israel menyerang Lubnan menerusi udara dan darat di selatan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan