NEW YORK, 3 April (Bernama-Xinhua) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengenakan tarif ad valorem 100 peratus ke atas import farmaseutikal tertentu yang dipatenkan dan bahan farmaseutikal berkaitan, lapor Xinhua.
Dalam perintah eksekutif yang ditandatangani pada Khamis, Trump berkata import terbabit adalah "dalam kuantiti dan dalam keadaan yang mengancam untuk menjejaskan keselamatan negara AS."
Tarif yang dikenakan akan berkuat kuasa pada atau selepas 12:01 tengah malam waktu siang timur pada 31 Julai 2026.
Tarif adalah sebanyak 20 peratus untuk produk syarikat yang mempunyai, atau yang berkemungkinan tidak lama lagi mempunyai, rancangan memindahkan operasi ke negara asal (onshoring) yang diluluskan oleh setiausaha perdagangan AS, namun akan meningkat kepada 100 peratus pada 2 April 2030, menurut perintah itu.
Jepun, Kesatuan Eropah, Korea Selatan dan Switzerland bersama Liechtenstein yang telah mencapai perjanjian perdagangan dengan AS akan dikenakan tarif 15 peratus manakala Britain akan berdepan tarif 10 peratus, menurut perintah itu.
Produk farmaseutikal generik, biosimilar dan bahan berkaitan telah dikecualikan daripada tarif pada masa ini, termasuk ubat nuklear, terapi terbitan plasma, rawatan kesuburan dan terapi sel dan gen, menurut perintah itu.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial