DUNIA > BERITA

Malaysia Kecam Sekeras-Kerasnya Hukuman Mati Mandatori Sasar Warga Palestin

03/04/2026 07:31 PM

PUTRAJAYA, 3 April (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya undang-undang baharu yang diluluskan oleh rejim Zionis Israel yang mengenakan hukuman mati secara mandatori terhadap rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat menegaskan bahawa undang-undang itu jelas bersifat diskiriminasi terhadap warga Palestin dan menghapuskan sepenuhnya budi bicara melalui proses kehakiman.

“Perundangan yang menyasarkan individu berdasarkan etnik dan identiti nasional ini merupakan suatu pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, termasuk Konvensyen Geneva Keempat serta instrumen antarabangsa hak asasi manusia yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa undang-undang baharu itu juga merupakan satu lagi langkah diskriminasi oleh rejim Zionis Israel untuk memperkukuh sistem aparteid dalam pendudukan haramnya di Wilayah Palestin.

Malaysia juga berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa dalam menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan tahanan Palestin di pusat tahanan Israel, terutama mengambil kira laporan sahih mengenai penderaan berterusan, penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan dan menghina, kebuluran, serta penafian hak-hak asas mereka.

Malaysia turut mendesak masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas, berprinsip dan kolektif bagi memastikan akauntabiliti ditegakkan, undang-undang antarabangsa dihormati, serta semua bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan