ANKARA, 7 April (Bernama-Anadolu) -- Iran telah memutuskan komunikasi langsung dengan Amerika Syarikat (AS) susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk memusnahkan "seluruh tamadun" Iran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media pada Selasa.
Langkah itu dibuat menjelang tarikh akhir pada Selasa yang ditetapkan oleh Trump untuk kemungkinan mencapai persetujuan, sekali gus merumitkan usaha untuk mencapai kesepakatan namun tidak menamatkan rundingan yang sedang berjalan, lapor The New York Times yang memetik tiga pegawai Iran.
Menurut laporan itu, yang turut disahkan oleh The Wall Street Journal, pegawai berkata rundingan tidak langsung melalui orang tengah gencatan senjata masih diteruskan meskipun komunikasi langsung digantung.
Seorang pegawai berkata keputusan Iran itu bertujuan menghantar "isyarat bantahan dan keengganan mengalah" sebagai tindak balas terhadap ancaman berkenaan.
Setakat ini, masih tidak jelas sama ada komunikasi langsung antara Tehran dan Washington akan disambung semula sebelum tempoh akhir itu tamat.
Pihak Rumah Putih tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas mengenai perkara itu.
Terdahulu, Trump memberi amaran bahawa "seluruh tamadun akan musnah malam ini, dan tidak akan dapat dikembalikan semula" - kenyataan yang mencetuskan pelbagai spekulasi ketika tarikh akhir pukul 8 malam Waktu Timur (0000 GMT Rabu) yang ditetapkannya untuk Iran semakin hampir.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial