DUNIA > BERITA

Hotel Serena Di Islamabad Dikosongkan Menjelang Rundingan AS-Iran

09/04/2026 06:24 PM

ISLAMABAD, 9 April (Bernama-TASS) -- Hotel Serena di Islamabad meminta tetamunya mengosongkan bilik masing-masing susulan satu “acara penting” yang diarahkan kerajaan, menurut notis hotel yang diperoleh Agensi Berita Rusia (TASS).

“Kami ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Pakistan telah mengambil alih hotel kami bagi satu acara penting, yang akan berlangsung mulai petang ini (8 April) hingga Ahad petang.

“Sehubungan itu, malangnya, selaras dengan arahan kerajaan, tuan/puan dikehendaki mendaftar keluar dari hotel ini sebelum 5 petang hari ini,” menurut dokumen yang ditandatangani pengurus hotel itu.

Terdahulu, seorang kakitangan Serena memberitahu TASS bahawa hotel berkenaan sedang membuat persiapan untuk menerima delegasi dari Amerika Syarikat (AS) dan Iran. 

Menurutnya, masih belum ada maklumat tepat sama ada hotel itu akan menjadi lokasi rundingan AS-Iran.

Presiden AS Donald Trump pada Selasa mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran. 

Menurut beliau, kedua-dua pihak telah menyelesaikan hampir semua isu pertikaian dan Washington melihat cadangan 10 perkara Tehran sebagai asas kerja bagi rundingan lanjut.

Antara perkara itu termasuk pematuhan kepada prinsip tidak menceroboh, kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, pengayaan uranium di dalam negara, penarikan balik sekatan utama dan sekatan sekunder, pembayaran pampasan, serta pengunduran tentera AS dari rantau itu.

Trump berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kesediaan Iran untuk membuka Selat Hormuz. 

Sebagai balasan, Tehran bersetuju menghentikan “serangan pertahanan” dengan syarat tiada serangan dilancarkan terhadap Iran.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang menjadi pengantara antara kedua-dua pihak, menjemput mereka mengadakan rundingan pada 10 April.

Menurut penyiar negara Iran, rundingan itu dijangka berlangsung secara bersemuka.

-- BERNAMA-TASS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan