PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Kementerian Luar menyaran rakyat Malaysia yang berada atau melakukan perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji, agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, meskipun perkembangan positif susulan pengumuman gencatan senjata dua minggu bermula 8 April.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menasihatkan warganegara Malaysia agar sentiasa meningkatkan tahap kewaspadaan, mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan dan perhimpunan awam.
Selain itu, kenyataan itu menyaran warganegara Malaysia agar sentiasa mengambil maklum dan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang gangguan penerbangan, kelewatan atau perubahan dalam urusan perjalanan.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan, dan akan mengemas kini nasihat perjalanan ini dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Keselamatan dan kesejahteraan warganegara Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kementerian,” katanya.
Bagi memudahkan penyaluran bantuan konsular, Kementerian Luar menyaran warganegara Malaysia untuk mendaftar keberadaan dan mengemas kini maklumat perhubungan mereka secara berkala menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my.
Warganegara Malaysia juga digalakkan memuat turun aplikasi MyWorldAlert kementerian bagi menerima maklumat terkini konsular setempat dan berhubung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat jika berlaku situasi kecemasan.
Pada 8 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan penggantungan dua minggu operasi ketenteraan terhadap Iran susulan pengantaraan oleh Pakistan.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pula berkata Majlis Keselamatan Negara Tertinggi mengisytiharkan bahawa Tehran akan menghentikan operasi pertahanan jika serangan ke atas negara itu ditamatkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial