DUNIA > BERITA

Empat Negara, Termasuk Singapura, Gesa Laluan Selamat Di Selat Hormuz Di PBB

17/04/2026 09:17 PM

Oleh Anas Hassan

SINGAPURA, 17 April (Bernama) -- Singapura bersama Fiji, Jamaica dan Malta menggesa pihak berkepentingan memulihkan laluan transit tanpa halangan melalui Selat Hormuz serta memastikan keselamatan pelaut dan kapal.

Kementerian Luar Singapura (MFA), dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata perkara itu disampaikan oleh Wakil Tetap Singapura ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Burhan Gafoor semasa beliau menyampaikan kenyataan bersama bagi pihak empat negara itu pada Mesyuarat Plenari ke-79 Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB pada Khamis.

Mesyuarat itu diadakan bagi membahaskan penggunaan kuasa veto pada mesyuarat ke-10130 Majlis Keselamatan PBB pada 7 April 2026 terhadap draf resolusi mengenai “Situasi di Asia Barat”.

“Kenyataan itu menyatakan bahawa hak laluan transit amat penting kepada perdagangan maritim antarabangsa.

“Bagi banyak negara pulau kecil dan negara membangun yang ekonominya bergantung kepada perdagangan, gangguan terhadap laluan itu memberi kesan buruk yang serius terhadap daya tahan ekonomi dan keselamatan tenaga,” menurut kenyataan itu.

MFA memaklumkan keempat-empat negara turut menekankan kepentingan menegakkan dan menghormati hak laluan transit selaras undang-undang antarabangsa seperti yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

“Singapura, Fiji, Jamaica dan Malta telah memberi sumbangan penting kepada rundingan, penggubalan dan pemuktamadan UNCLOS, serta mempunyai kepentingan berterusan dalam pelaksanaannya yang tulus,” tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan