DUNIA > BERITA

Iran Sahkan AS Rampas Kapal, Beri Amaran Akan Bertindak Balas

20/04/2026 09:52 AM

ISTANBUL, 20 April (Bernama-Anadolu) -- Iran mengesahkan bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) telah merampas sebuah kapal milik negara itu dan memberi amaran akan bertindak balas “tidak lama lagi”, lapor Anadolu Ajansi memetik media Iran.

Menurut Fars News Agency, Markas Pusat Khatam al-Anbiya memaklumkan bahawa tentera AS menyasarkan kapal berkenaan, melumpuhkan sistem navigasi dan kemudian menaikinya dalam insiden yang didakwa sebagai pencabulan gencatan senjata.

Jurucakap tentera Iran Ebrahim Zolfaghari berkata tentera AS melepaskan tembakan ke arah kapal itu sebelum menaikinya.

“Amerika Syarikat yang bertindak agresif dengan melanggar gencatan senjata dan melakukan lanun maritim, telah menyerang sebuah kapal Iran selepas melumpuhkan sistem navigasinya.

“Kami memberi amaran bahawa angkatan tentera Iran akan segera bertindak balas dan membalas perbuatan lanun bersenjata oleh tentera AS ini,” kata Zolfaghari.

Terdahulu pada Ahad, Presiden AS Donald Trump berkata AS telah memintas sebuah kapal kargo berbendera Iran.

“Hari ini, sebuah kapal kargo berbendera Iran bernama TOUSKA … cuba melepasi sekatan laut kami, dan ia tidak berjalan lancar untuk mereka,” kata Trump menerusi platform Truth Social.

Beliau juga berkata kapal itu mengabaikan amaran AS supaya berhenti, sambil mendakwa sebuah kapal tentera laut AS menghentikan pergerakan mereka serta-merta dengan menyerang bilik enjin.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan