DUNIA > BERITA

AS Salur 5,000 Tan Bantuan Makanan Untuk Bantu 288,000 Penduduk Di Selatan Madagascar

21/04/2026 03:02 PM

LUSAKA (Zambia), 21 April (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menyalurkan 5,000 tan bantuan makanan kecemasan bagi membantu hampir 300,000 penduduk di selatan Madagascar yang dilanda kemarau, lapor Anadolu Ajansi.

“Penyerahan hari ini menunjukkan bagaimana bantuan luar AS membantu menjadikan Amerika lebih selamat dengan mencegah ketidakstabilan di seluruh dunia,” kata Kuasa Usaha Kedutaan AS di Madagascar Stephanie Arnold kepada Presiden Michael Randrianirina semasa majlis penyerahan rasmi bantuan itu di Pelabuhan Toliara, menurut kenyataan kedutaan.

Bantuan makanan yang disalurkan menerusi Program Makanan Sedunia (WFP) itu akan memberi sokongan secara langsung kepada 288,000 penduduk yang berdepan ketidakjaminan makanan serius serta kekurangan zat makanan akut di negara berkenaan.

“Penghantaran ini merupakan sebahagian daripada pakej bantuan kemanusiaan berjumlah US$11.65 juta yang disediakan oleh AS pada Mac 2026 bagi memenuhi keperluan makanan dan nutrisi di selatan serta tenggara Madagascar.

“Peruntukan itu membolehkan WFP memperoleh 7,100 tan bantuan makanan dan nutrisi, dan penghantaran hari ini merupakan kumpulan pertama bekalan makanan, manakala penghantaran tambahan dijangka tiba dalam masa terdekat,” menurut kenyataan kedutaan itu.

Randrianirina turut merakamkan penghargaan kepada AS atas bantuan segera itu dan berkata dalam kenyataan yang dipetik pihak presiden: “Madagascar terbuka untuk bekerjasama dengan negara itu dan semua pihak lain selagi rakyat Malagasy menjadi keutamaan dalam kerjasama ini.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan