DUNIA > BERITA

Wanita Kanada Maut Dalam Insiden Tembakan Di Piramid Teotihuacan, Mexico

21/04/2026 03:11 PM

MEXICO CITY, 21 April (Bernama-dpa) – Seorang wanita warga Kanada maut manakala sekurang-kurangnya enam yang lain cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di tapak arkeologi Teotihuacan, Mexico, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pihak berkuasa pada Isnin.

Insiden tembakan di satu daripada destinasi pelancongan paling ikonik di Mexico itu - terletak kira-kira sejam ke utara ibu negara - berlaku hanya beberapa minggu sebelum negara itu menjadi tuan rumah bersama kejohanan Piala Dunia.

Pihak berkuasa keselamatan Mexico memaklumkan seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan atas motif yang masih belum dikenal pasti, sebelum bertindak menamatkan riwayatnya sendiri.

"Apa yang berlaku di Teotihuacan hari ini amat mendukacitakan kami," tulis Presiden Claudia Sheinbaum menerusi hantaran di laman X.

Beliau turut menzahirkan solidariti terhadap mangsa serta keluarga mereka dan mengesahkan Kerajaan Mexico sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Kanada.

Menurut Ketua Keselamatan Negeri Mexico, Cristóbal Castañeda, mangsa yang cedera membabitkan sekurang-kurangnya seorang warga Rusia, seorang rakyat Kanada dan dua pelancong Colombia.

Kerajaan Mexico mengesahkan seramai enam individu cedera, dengan empat daripadanya terkena tembakan manakala dua lagi akibat terjatuh.

Teotihuacan merupakan antara tapak arkeologi paling penting di Mexico yang menempatkan Piramid Matahari, Piramid Bulan dan Kuil "Feathered Serpent".

Satu video yang tular di laman X memaparkan suspek melepaskan tembakan dari arah Piramid Bulan.

Insiden keganasan itu jarang berlaku di bandar purba yang kebiasaannya aman, dan ia tercetus menjelang penganjuran Piala Dunia oleh Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat pada Jun serta Julai ini.

Pada kemuncak kegemilangannya sekitar abad ke-5 dan ke-6, Teotihuacan merupakan metropolis terpenting di Mesoamerika dan antara bandar terbesar di dunia.

Tapak berkenaan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1987.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan