WASHINGTON, 21 April (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Luar Iran pada Selasa mengecam penahanan baru-baru ini oleh tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap sebuah kapal kargo yang didakwa cuba mengelak sekatan ke atas pelabuhan Iran, lapor Anadolu Ajanssi.
“Kementerian Luar Republik Islam Iran mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyalahi undang-undang dan ganas oleh ‘tentera pengganas’ AS dalam menyerang kapal komersial Iran ‘Touska,’ yang berlaku pada Ahad,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Menggelar insiden itu sebagai satu "bentuk lanun maritim dan tindakan pengganas," kenyataan itu menegaskan tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa, serta gencatan senjata selama dua minggu dengan AS yang bermula pada 7 April.
Kementerian berkenaan menuntut pembebasan kapal berbendera Iran itu serta anak kapalnya serta keluarga mereka.
"Tanpa ragu-ragu lagi, Republik Islam Iran akan menggunakan semua kapasitinya untuk mempertahankan kepentingan dan keselamatan negaranya, dan untuk memelihara hak serta maruah rakyat Iran," katanya sambil menegaskan bahawa AS bertanggungjawab atas "peningkatan selanjutnya".
Komando Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan pada Ahad, tentera laut AS merampas kapal kargo berbendera Iran TOUSKA di Teluk Oman selepas ia dilaporkan enggan mematuhi arahan sekatan.
Menurut CENTCOM pada Isnin, tentera AS telah mengarahkan 27 kapal komersial untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan Iran sejak sekatan tentera laut di pelabuhan Iran bermula pada 13 April.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial