WASHINGTON, 21 April (Bernama-dpa) -- Amazon memperluas kerjasamanya dengan Anthropic, pesaing OpenAI, menerusi satu lagi pelaburan berbilion dolar Amerika Syarikat, menurut syarikat itu pada Isnin.
Amazon berkata pada peringkat awal pihaknya akan melabur US$5 bilion dalam syarikat pembangun chatbot kecerdasan buatan (AI) Claude itu, dengan pelaburan tambahan sehingga US$20 bilion lagi berkemungkinan dibuat pada masa depan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Pada masa sama, Anthropic akan memperoleh kapasiti sehingga 5 gigawatt daripada generasi semasa dan akan datang cip Trainium milik Amazon bagi melatih serta menjalankan model AI canggihnya, menurut Amazon.
Secara keseluruhan, pembangun Claude itu merancang membelanjakan lebih US$100 bilion bagi semikonduktor Amazon dan kuasa pengkomputeran sepanjang 10 tahun akan datang.
Amazon juga merupakan penyedia perkhidmatan awan terbesar dunia menerusi anak syarikatnya, AWS.
Anthropic, saingan kepada OpenAI yang membangunkan ChatGPT, berulang kali menjadi tumpuan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk berhubung ketegangan dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Syarikat itu berkata model AInya tidak boleh digunakan dalam sistem senjata autonomi atau bagi pengawasan besar-besaran di AS.
Pentagon kemudian mengklasifikasikan Anthropic sebagai risiko rantaian bekalan, satu keputusan yang sedang dicabar syarikat itu di mahkamah.
Baru-baru ini, Anthropic turut menarik perhatian menerusi "Claude Mythos Preview", model yang direka untuk mengesan kelemahan perisian yang mungkin tidak dikesan selama bertahun-tahun.
Di tangan pihak yang salah, teknologi seumpama itu boleh digunakan sebagai senjata siber, di samping membantu kerajaan dan syarikat memperkukuh sistem masing-masing.
Anthropic tidak bercadang untuk mengeluarkan Mythos Preview kepada umum.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial