WASHINGTON, 22 April (Bernama-Anadolu) -- Lawatan yang dijangka dilakukan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance ke Pakistan bagi pusingan kedua rundingan dengan Iran tidak akan berlangsung pada Selasa, menurut seorang pegawai Rumah Putih, lapor Anadolu Ajansi.
“Susulan hantaran Presiden (Donald) Trump di Truth Social yang mengesahkan bahawa Amerika Syarikat sedang menunggu satu "cadangan diselaraskan" daripada pihak Iran, lawatan ke Pakistan tidak akan berlangsung hari ini,” kata pegawai itu seperti dipetik kumpulan media yang membuat liputan rasmi.
Trump berkata pada Selasa bahawa Washington akan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran bagi memberi masa kepada Tehran menyediakan “cadangan diselaraskan” susulan permintaan pegawai Pakistan.
Pengumuman itu dibuat ketika delegasi AS yang diketuai Vance dijangka berlepas ke Islamabad pada Selasa bagi pusingan kedua rundingan secara bersemuka dengan Iran, namun lawatan itu ditangguhkan susulan mesyuarat lanjut mengenai dasar di Rumah Putih, menurut pegawai AS.
Rundingan itu sepatutnya menyusuli pusingan awal libat urus peringkat tinggi di Pakistan awal bulan ini, yang berakhir tanpa sebarang kemajuan.
Gencatan senjata yang pada awalnya diumumkan bulan ini dijadual tamat pada Rabu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial