DUNIA > BERITA

Hizbullah Gesa Hentikan Rundingan Terus Dengan Israel Ketika Serangan Berterusan

24/04/2026 07:28 AM

BEIRUT, 24 April (Bernama-Xinhua)-- Ahli Parlimen Hizbullah Hassan Fadlallah menggesa pihak berkuasa Lubnan pada Khamis supaya menghentikan rundingan secara langsung dengan Israel, dengan memberi amaran yang penglibatan berterusan memberikan perlindungan politik kepada serangan Israel yang masih berlaku ke atas Lubnan, lapor Xinhua.

“Lubnan mesti menghentikan semua bentuk komunikasi langsung dengan musuh,” kata Fadlallah dalam sidang media di Parlimen, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan.

Israel terus melancarkan serangan ke atas kampung di sempadan selatan Lubnan, termasuk serangan dron, bedilan artileri dan tembakan langsung, katanya.

Menurutnya, pihak penentangan “tidak akan menerima gencatan senjata sebelah pihak” selagi serangan Israel berterusan, sambil menyuarakan bantahan terhadap apa yang disifatkan sebagai “garis merah” baharu yang cuba dikenakan oleh Israel.

Beliau turut mengecam tentera Israel kerana menghalang pasukan penyelamat daripada sampai kepada mangsa awam, termasuk dua wartawan, di bandar selatan Al-Tiri dan menyifatkannya sebagai “jenayah perang” yang menyasarkan orang awam tidak bersenjata.

Gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, selepas beberapa minggu pertempuran rentas sempadan yang semakin memuncak susulan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran.

Pegawai Israel dan Lubnan mengadakan rundingan di Washington, D.C. pada 14 April, dengan pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada Khamis.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan