DUNIA > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN Tumpu Tenaga, Bekalan Makanan Stabil, Keselamatan Rakyat - DFA

24/04/2026 11:46 AM

MANILA, 24 April (Bernama-PNA) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan mesyuarat berkaitan pada Mei ini akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga, menstabilkan bekalan makanan serta melindungi rakyat Asia Tenggara di luar negara susulan krisis Asia Barat, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa Lazaro pada Khamis.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), Lazaro berkata Filipina bersedia menganjurkan mesyuarat peringkat tinggi itu yang akan menghimpunkan pemimpin dan pegawai kanan negara anggota ASEAN di Cebu pada 8 Mei.

“Tumpuan kami adalah kepada keperluan paling mendesak ketika ini, iaitu memperkukuh keselamatan tenaga, menstabilkan bekalan makanan dan yang paling utama, memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat ASEAN di mana sahaja mereka berada di dunia,” katanya pada forum anjuran Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI) yang berpangkalan di Jakarta.

Diplomat tertinggi Filipina itu berkata perkara berkenaan membuktikan komitmen ASEAN untuk bekerjasama dan meneroka ruang bagi menangani kesan gangguan yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.

“Bagi saya, ini menjadi bukti dan manifestasi bahawa ASEAN benar-benar bersiap siaga serta sangat padu dalam menangani pelbagai isu, termasuk kemungkinan isu lain pada masa depan,” katanya.

Mesyuarat akan datang itu diadakan susulan gangguan rantaian bekalan akibat perang Iran yang tercetus pada Februari, yang kemudian diburukkan lagi oleh penutupan Selat Hormuz, laluan yang menyaksikan lebih 25 peratus minyak mentah global melaluinya.   

 

SITUASIMYANMAR

 

Menjelang sidang kemuncak Mei itu, Lazaro berkata Manila juga terus berperanan sebagai jambatan antara pihak berkepentingan di Myanmar di bawah kerangka Konsensus Lima Perkara (5PC), iaitu pelan damai yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada 2021.

Lazaro, yang juga utusan khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar, mengambil maklum perkembangan di negara Asia Tenggara itu termasuk penubuhan kerajaan baharu, selain menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan 5PC sepenuhnya.

“Ketika ini, terdapat beberapa kenyataan yang dibuat oleh mereka, antaranya pembebasan tahanan politik, harapan untuk menempatkan Aung San Suu Kyi di bawah tahanan rumah dan pembebasan bekas presiden.

“Ini merupakan petunjuk daripada pihak mereka. Bagaimanapun, mereka masih belum, dan inilah intipati permukiman menteri luar yang kami adakan di Cebu, benar-benar mematuhi Konsensus Lima Perkara,” katanya.

Lazaro menegaskan bahawa ASEAN akan terus menggunakan 5PC sebagai satu-satunya kerangka bagi menangani situasi di Myanmar.

“Kami masih percaya bahawa selagi mereka belum mematuhi perkara yang digariskan dalam Konsensus Lima Perkara, hubungan akan kekal seperti keadaan sebelum ini,” katanya.   

 

RUNDINGANCOC DITERUSKAN

 

Dalam tempoh kepengerusian Filipina, Lazaro berkata ASEAN dan China turut meneruskan mesyuarat berkala bagi memuktamadkan Kod Tata Laku di Laut China Selatan (COC) yang substantif mengikut garis masa sasaran pada 2026.

Tanpa mengulas lanjut, beliau mendedahkan terdapat “sedikit kemajuan” dalam rundingan berterusan bagi pakatan yang dinanti-nantikan itu.

“Saya sering mengatakan bahawa saya seorang yang optimis tetapi juga pragmatik. Berdasarkan perbincangan yang kami adakan, pandangan kami, dan saya fikir ASEAN serta China juga, adalah untuk berusaha memuktamadkan COC menjelang akhir tahun ini.

“Dan saya boleh katakan ketika ini bahawa kemungkinan itu ada, kerana pada masa ini kumpulan berkenaan bermesyuarat setiap bulan, begitu juga para perunding,” katanya.

Selepas permukiman menteri luar ASEAN di Cebu pada Januari, Lazaro berkata rundingan diadakan setiap bulan termasuk di Indonesia pada Februari dan di China awal bulan ini.

-- BERNAMA-PNA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan