ISTANBUL/WASHINGTON, 25 April (Bernama-Anadolu) -- Seorang anggota pengaman Indonesia yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) meninggal dunia akibat kecederaan susulan letupan di sebuah pangkalan di selatan Lubnan, menurut misi itu pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
UNIFIL memaklumkan Koperal Rico Pramudia, 31, cedera parah dalam “letupan projektil” di sebuah pangkalan di Adchit al-Qusayr pada malam 29 Mac sebelum meninggal dunia di sebuah hospital di Beirut.
“UNIFIL dukacita atas pemergian Koperal Rico Pramudia hari ini,” menurut misi itu dalam satu kenyataan.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, pasukan itu menyeru semua entiti supaya menghormati kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa serta memastikan keselamatan anggota dan kemudahan PBB.
“Serangan yang disengajakan terhadap anggota pengaman merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan, dan boleh dianggap sebagai jenayah perang,” menurut kenyataan itu.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu pemberita bahawa Setiausaha Agung Antonio Guterres “amat dukacita” dengan kematian Pramudia yang berusia 31 tahun.
Dujarric menegaskan bahawa PBB telah mengambil langkah berulang kali bagi mengurangkan risiko terhadap anggotanya, termasuk berkongsi koordinat tepat kedudukan dan kemudahannya dengan tentera Israel.
Guterres “sekali lagi menyeru semua pihak supaya mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta memastikan keselamatan anggota PBB, selain menghormati kekebalan harta dan aset PBB pada setiap masa,” katanya.
Dengan kematian Pramudia, enam anggota UNIFIL terbunuh manakala beberapa yang lain cedera parah dalam peningkatan ketegangan semasa, kata Dujarric.
“Insiden-insiden ini tidak boleh diterima dan mesti dihentikan,” katanya.
PBB menggesa pihak berkaitan supaya memastikan insiden berkenaan disiasat secara menyeluruh dan jika wajar, didakwa oleh pihak berkuasa negara, katanya.
“Serangan terhadap anggota pengaman PBB boleh dianggap sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa,” kata beliau.
Pada Khamis, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan dilanjutkan selama tiga minggu susulan rundingan peringkat duta di Rumah Putih.
Gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan AS, yang berkuat kuasa pada 16 April, dijadual tamat pada Ahad.
Sejak 2 Mac, serangan Israel yang diperluas ke atas Lubnan mengorbankan lebih 2,200 orang dan menyebabkan lebih satu juta penduduk hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial