NEW YORK, 25 April (Bernama-dpa) -- Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman pada Jumaat memohon maaf kepada sebuah komuniti di Kanada susulan insiden tembakan di sebuah sekolah pada Februari, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Polis berkata sembilan orang, termasuk suspek serangan terbunuh dalam kejadian di wilayah British Columbia itu, manakala 25 orang lagi cedera.
OpenAI menggantung akaun ChatGPT milik suspek pada Jun lepas selepas sistem pemantauan mengesan perbualan yang mengandungi senario berkaitan penggunaan senjata api.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menganggap perlu untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa. Susulan insiden itu, OpenAI menemukan satu lagi akaun ChatGPT milik wanita berkenaan.
Dalam surat yang ditujukan kepada komuniti Tumbler Ridge, Altman memohon maaf kerana tidak memaklumkan pihak berkuasa mengenai interaksi pelaku dengan chatbot syarikat berkenaan.
“Saya amat kesal kerana kami tidak memaklumkan pihak penguat kuasa undang-undang mengenai akaun yang telah digantung pada Jun.
“Walaupun saya tahu kata-kata tidak pernah mencukupi, saya percaya permohonan maaf perlu dibuat bagi mengiktiraf kemudaratan dan kehilangan yang tidak dapat dipulihkan yang dialami komuniti anda,” kata beliau.
Altman berkata beliau telah memberikan komitmen untuk mencari jalan “bagi mencegah tragedi seperti ini” pada masa depan.
“Melangkah ke hadapan, tumpuan kami akan terus diberikan kepada kerjasama dengan semua peringkat kerajaan bagi membantu memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.”
Premier wilayah British Columbia, David Eby, berkongsi surat Altman itu di X.
“Permohonan maaf itu perlu, namun amat tidak memadai berbanding kemusnahan yang menimpa keluarga di Tumbler Ridge.
“Kami akan terus bersama Datuk Bandar Darryl Krakowa dan penduduk Tumbler Ridge dalam menghadapi cabaran sukar selepas ini,” katanya.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial