DUNIA > BERITA

Mohamad Terajui Delegasi Malaysia Ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-EU Ke-25

26/04/2026 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-EU (AEMM) ke-25 di Bandar Seri Begawan, Brunei bermula 27 hingga 28 April ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan mesyuarat itu merupakan platform bagi para pemimpin menyemak semula kemajuan serta merangka hala tuju masa depan perkongsian strategik ASEAN-EU.

Perhimpunan dwitahunan itu juga memberi peluang kepada ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai ada kepentingan bersama.

Selain itu, ia turut membincangkan persiapan bagi sambutan ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-EU yang bakal disambut pada 2027.

“Mesyuarat itu dijangka meluluskan Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Luar AEMM ke-25.

“Kenyataan berkenaan dijangka mengesahkan semula Kepusatan ASEAN, komitmen untuk memperdalam kerjasama ASEAN-EU merentas tiga tonggak Komuniti ASEAN selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, serta mencerminkan pandangan bersama mengenai perkembangan utama serantau dan global,” menurut kenyataan itu.

Di luar AEMM ke-25, Mohamad juga dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari negara anggota ASEAN dan EU bagi membincangkan isu kepentingan bersama.

Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Luar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan