DUNIA > BERITA

Gangguan Di Selat Hormuz Boleh Jejaskan Rantaian Bekalan Makanan Global – Ahli Ekonomi Fao

27/04/2026 09:56 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Gangguan berpanjangan di Selat Hormuz berisiko mencetuskan kekangan bekalan makanan global, apabila Ketua Ahli Ekonomi Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Maximo Torero Cullen memberi amaran mengenai peningkatan risiko terhadap kitaran tanaman dan kos rantaian bekalan.

Beliau berkata keadaan semakin kritikal kerana ia berlaku serentak dengan fasa penting dalam kalendar tanaman global dan tekanan dijangka meningkat sekiranya gangguan berterusan selama beberapa bulan lagi.

Bercakap dalam temu bual dalam talian menerusi program Bernama World terbitan Bernama TV, Torero Cullen berkata gangguan di selat itu meningkatkan kos di seluruh rantaian bekalan global, sambil menyatakan yang negaraTeluk mengimport antara 55 hingga 80 peratus keperluan makanan mereka.

Beliau berkata kos input yang lebih tinggi, ditambah dengan harga komoditi yang relatif rendah, mengecilkan margin keuntungan petani, memaksa mereka membuat keputusan sukar seperti mengurangkan penggunaan input, mengusahakan kawasan tanaman yang lebih kecil, menangguhkan penanaman atau menukar tanaman daripada gandum dan jagung kepada kacang soya.

“Kami mendapati apabila harga input meningkat dan harga komoditi masih rendah, margin petani menjadi sangat kecil dan mereka terpaksa membuat keputusan sukar.

“Keputusan itu termasuk menggunakan input yang lebih sedikit yang membawa kepada hasil lebih rendah, atau menanam di kawasan lebih kecil atau tidak menanam langsung, atau beralih kepada komoditi lain,” katanya, sambil menambah perubahan ini akan mengurangkan pengeluaran dan ketersediaan makanan pada musim akan datang.

Torero Cullen berkata harga komoditi utama seperti gandum dan kacang soya mula meningkat, menandakan ketidaktentuan yang semakin memuncak yang boleh membawa kepada pengeluaran lebih rendah dan bekalan global yang lebih ketat pada separuh kedua tahun ini hingga 2027, sekali gus mendorong inflasi makanan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.

Sementara itu, beliau berkata pasaran berupaya menyerap kejutan dalam tempoh empat hingga lima bulan sekiranya Selat Hormuz dibuka semula dalam masa terdekat dan penghantaran kembali beroperasi, sekali gus mengehadkan kesan keseluruhan.

“Jika Selat Hormuz dibuka semula dan kapal kembali bergerak, ini bermakna dalam tempoh empat hingga lima bulan pasaran mampu menyerap kejutan itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa gangguan melebihi dua atau tiga bulan akan meningkatkan risiko pengeluaran global yang lebih rendah dan bekalan makanan yang lebih ketat pada tahun hadapan.

“Itu bermakna hasil akan lebih rendah dan bekalan global turut berkurangan,” katanya.

Mengenai langkah segera, Torero Cullen menggesa penggunaan laluan penghantaran alternatif, pemantauan pasaran yang lebih kukuh untuk meningkatkan ketelusan bekalan, serta mengelakkan sekatan eksport yang boleh memburukkan kekurangan bekalan.

Beliau turut menyeru kerajaan memperkukuh perlindungan sosial bersasar bagi golongan rentan serta memastikan operasi kemanusiaan mempunyai sokongan logistik mencukupi untuk membantu populasi yang berdepan ketakjaminan makanan.

Untuk jangka panjang, beliau berkata negara perlu mempelbagaikan infrastruktur pengangkutan dan membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan maritim utama seperti Selat Hormuz.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan