Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 1 Mei (Bernama) -- Pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi memperluas perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada mereka yang bekerja di luar negara.
Pembantu logistik di sebuah syarikat perkhidmatan di Singapura, Muhammad Amyrul Syahwan Abdullah, 23, menyifatkan langkah itu sebagai tepat pada masanya, khususnya ketika ketidaktentuan pasaran pekerjaan semasa.
Muhammad Amyrul yang menaiki pengangkutan awam ulang-alik sejauh 49 kilometer setiap hari untuk ke tempat kerja di Singapura berkata perlindungan Perkeso akan menjamin masa depan pekerja.
“Banyak kes kemalangan melibatkan pekerja rentas sempadan, dan ada antara mereka tidak mempunyai perlindungan insurans sama ada secara peribadi atau daripada majikan,” katanya kepada Bernama.
Bagi Luqman Khafa, 27, inisiatif kerajaan yang itu bakal meringankan beban pekerja jika terlibat dalam sebarang musibah.
"Untuk seseorang yang menaiki motosikal, inisiatif perlindungan seperti ini merupakan satu keperluan… Selain itu, kesejahteraan dan keletihan pekerja yang berulang alik wajar diberi perhatian," katanya yang menaiki motosikal sejauh 35 kilometer dari rumahnya di Larkin, Johor ke tempat bekerja di Singapura setiap hari.
Bagi rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor farmaseutikal di Singapura, Muhd Syafiq, 38, berharap kesedaran pekerja yang merentas sempadan terhadap risiko dan perlindungan terhadap mereka dapat dipertingkatkan.
“Tahap kesedaran setiap orang berbeza, ada yang kesederan mereka akan timbul bila hadapi kemalangan dalam Singapura yang kita tahu ia memakan kos rawatan yang tinggi,” katanya.
Sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Inisiatif itu dijangka dapat memanfaatkan lebih 480,000 pekerja yang mencari rezeki merentasi Tambak Johor.
Dalam ucapannya, Anwar berkata secara purata, satu nyawa rakyat kita hilang setiap minggu atau 54 kematian setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial