DUNIA > BERITA

Ribuan Penduduk Dipindahkan Susulan Kebakaran Hutan Di Wilayah Tuscany, Itali

02/05/2026 08:00 PM

ROM, 1 Mei (Bernama-dpa) -- Lebih 3,500 penduduk di Itali terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing berikutan kebakaran hutan yang terus marak di antara bandar Pisa dan Lucca di Wilayah Tuscany, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perbandaran San Giuliano Terme yang terletak berhampiran Gunung Monte Faeta merupakan antara kawasan paling teruk terjejas, dengan keadaan dilaporkan semakin meruncing sejak malam tadi.

Pihak berkuasa tempatan pada petang Khamis mengarahkan kesemua penduduk meninggalkan kawasan terbabit, manakala beberapa dewan gimnasium telah diubah suai untuk dijadikan pusat perlindungan sementara.

Kawasan di sekitar Monte Faeta yang terletak di pinggir bandar Pisa merupakan lokasi tumpuan pelancong, terutamanya bagi aktiviti kembara.

Presiden Wilayah, Eugenio Giani menyifatkan situasi semasa sebagai "sangat sukar."

Anggota tentera turut digerakkan bagi membantu usaha memadamkan kebakaran yang mula tercetus sejak beberapa hari lepas.

Menurut pihak berkuasa tempatan, usaha mengawal  api yang marak berdepan kesukaran memandangkan faktor angin kencang yang terus memarakkan lagi kebakaran.

Puluhan anggota penyelamat kini berada di lokasi kejadian dengan dibantu oleh pesawat pemadam api serta helikopter, menurut pihak bomba.

-- BERNAMA-dpa 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan