JAKARTA, 3 Mei (Bernama) -- Gunung Semeru di Indonesia, yang terletak di sempadan Kabupaten Lumajang dan Malang di Jawa Timur meletus pada pagi Ahad, mencetuskan tiang abu setinggi 900 meter (m) di atas puncaknya, menurut pihak berkuasa.
Dalam satu kenyataan, pegawai pemerhati di pos pemantauan Semeru Sigit Rian Alfian berkata letusan berlaku pada 8 pagi waktu tempatan dengan tiang abu mencecah kira-kira 4,576 m dari aras laut.
“Tiang abu gunung berapi berdurasi kira-kira 111 saat diperhatikan berwarna putih hingga kelabu dan hanyut ke arah barat daya dengan intensiti tebal,” katanya menurut Agensi Berita Antara pada Ahad.
Data pemantauan menunjukkan dalam tempoh enam jam dari tengah malam hingga 6 pagi, Semeru merekodkan 18 gegaran berkaitan letusan dengan amplitud antara 10 hingga 22 milimeter dan tempoh antara 89 dan 201 saat.
Puncak tertinggi di Pulau Jawa itu turut mencatatkan aktiviti seismik lain, termasuk pelepasan gas, gegaran harmonik dan satu gempa bumi tektonik jauh dalam tempoh yang sama.
Pihak berkuasa mengekalkan status berjaga-jaga Semeru di Tahap III (Siaga), memberi amaran kepada penduduk supaya mengelak semua aktiviti dalam jarak 13 kilometer dari puncak di sektor tenggara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial