Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 5 Mei (Bernama) -- Keuntungan Grab Holdings Ltd melonjak kepada US$120 juta (US$1=RM3.95) pada suku pertama 2026 berbanding US$10 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lepas.
Syarikat itu melalui satu kenyataan berkata hasil bagi suku pertama meningkat 24 peratus dari tahun ke tahun kepada US$955 juta merentas segmen perkhidmatan kewangan dan pertumbuhan permintaan yang berterusan
Pertumbuhan nilai barangan kasar (GMV) atas permintaan menokok 24 peratus dari tahun ke tahun kepada US$6.1 bilion, manakala jumlah insentif pada suku pertama ialah US$650 juta.
Insentif atas permintaan sebagai sebahagian daripada GMV atas permintaan naik 46 mata asas dari tahun ke tahun kepada 10.5 peratus, didorong oleh peningkatan dalam insentif rakan kongsi bagi memenuhi permintaan semasa musim perayaan selain menyokong pendapatan rakan kongsi pemandu berikutan peningkatan kos bahan api di seluruh rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Kumpulan Grab, Anthony Tan berkata pendapatan itu menunjukkan daya tahan platform tersebut khususnya semasa Asia Tenggara bergelut dalam persekitaran makroekonomi yang tidak menentu akibat krisis minyak.
“2026 kami dimulakan dengan kukuh. Lazimnya, suku pertama adalah suku paling lemah berdasarkan musim namun, pertumbuhan GMV atas permintaan kami telah meningkat kepada 24 peratus dari tahun ke tahun atau 21 peratus dari tahun ke tahun pada asas mata wang yang berterusan, menandakan satu lagi suku rekod keuntungan.
“Untuk baki tahun ini, kami akan terus komited bagi menyampaikan pertumbuhan yang berkekalan dan menguntungkan sambil berganding bahu dengan komuniti kami, memaksimumkan penggunaan AI untuk memberikan pengguna kami pengalaman hiper-peribadi dan pada masa yang sama membuka peluang pendapatan yang lebih mampan untuk rakan kongsi ekosistem kami,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial