DUNIA > BERITA

Parlimen Berperanan Penting Teguhkan Kepusatan, Pentadbiran ASEAN - Awang Bemee

06/05/2026 05:42 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Badan parlimen berperanan penting dalam mengukuhkan tadbir urus, kepusatan dan ketersambungan ASEAN dengan memelihara kepercayaan awam, kekuatan institusi dan aspirasi rakyat dalam kerjasama serantau, kata Yang diPertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Beliau berkata kemampanan ASEAN bukan sahaja bergantung pada penglibatan diplomatik dan mesyuarat pemimpin, tetapi juga pada institusi yang dipercayai dan responsif terhadap rakyat.

“Parlimen memainkan peranan penting dalam mengaitkan dasar negara dengan aspirasi dan kebimbangan rakyat biasa.

"Atas sebab itu, dimensi parlimen bukan sekunder. Ia adalah bahagian asas kepada kekuatan, legitimasi, dan kesinambungan projek serantau ASEAN itu sendiri," katanya semasa berucap dalam majlis makan tengah Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2026 di sini, pada Rabu.

Awang Bemee berkata ASEAN kini mengharungi tempoh yang rumit dan tidak menentu dengan peningkatan persaingan strategik, pemecahan ekonomi, tekanan rantaian bekalan serta kebimbangan terhadap keselamatan tenaga dan makanan.

"Dalam suasana itu, kepusatan ASEAN menjadi lebih penting. Kepusatan bukan sekadar frasa. Ia mesti diperkukuh, dengan syarat ASEAN kekal bersatu, boleh dipercayai, relevan, dan apabila kita, sebagai negara anggota, memahami nilai, rakyat biasa memahami nilai dalam bertindak bersama," katanya.

Senator itu juga menekankan kepentingan menjadikan ASEAN bermakna kepada rakyat biasa dengan memastikan mereka menikmati manfaat kerjasama serantau dalam kehidupan seharian.

ASEAN, yang kini mencecah usia 59 tahun, katanya, mesti terus berkembang sebagai sebuah organisasi serantau yang pragmatik, efektif, berkesan, membimbing, responsif dan berpaksikan rakyat dalam berdepan ketidaktentuan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan